Friday, September 21, 2012

Isu Filem Innocence of Muslims dan Demo Bantahan

*Imej dari google*

Filem "Innocence of Muslims" telah menjadi satu topik hangat minggu ini bukan kerana menang anugerah tetapi ia mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia disebabkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. 

Hari ini Jumaat, akan diadakan demo bantahan terhadap Amerika Syarikat (US) yang langsung tidak memikirkan sensitiviti umat Islam dengan membenarkan tayangan filem "Innocence of Muslims". Demo bantahan yang dilakukan itu bakal disertai oleh Pemuda dan Puteri Umno, MCA, MIC serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa, Pekida dll. Himpunan aman bertempat di perkarangan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat dijangka akan dihadiri oleh 5,000 penyokong.

Desas desus tentang mengatakan Pemuda Umno dan Pemuda Pas akan bersama - sama bergabung menyertai demo bantahan sememangnya benar tetapi akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk melakukannya secara berasingan atas faktor keselamatan. Walaubagaimanapun, menurut Khairy, Pemuda Umno dan Pemuda Pas tetap mengamalkan solidariti iaitu mereka saling menyokong antara satu sama lain bagi mengadakan himpunan aman demi mempertahankan Islam. Oleh itu, Pemuda Pas akan berhimpun di Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.




p/s : Berhimpunlah secara aman dan bijak serta jangan sesekali kita merusuh agar musuh kita tidak memandang Islam itu agama keganasan sebaliknya Islam itu tetap agama yang suci dan cintakan keamanan.
p/ss : Mana pergi Pemuda PKR? Tak nak hadiri himpunan aman jugak ke? DAP kita tahu memang anti-Islam. Huhu :)


Wednesday, September 19, 2012

Apa itu Deklarasi Kuching?


Deklarasi Kuching ialah satu perjanjian yang dibuat oleh Pakatan Rakyat pada 16 September yang lalu selari dengan sambutan Hari Malaysia ke49. Ianya mengutamakan 7 perkara berikut :

PERKARA 1: KERJASAMA BERSEKUTU
Kami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

PERKARA 2: PERWAKILAN YANG ADIL
Kami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

PERKARA 3: KEWARGANEGARAAN
Kami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT
Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

PERKARA 5: KECEKAPAN DAN KEMANDIRIAN SARAWAK DAN SABAH
Kami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

PERKARA 6: KEADILAN DALAM ISU MINYAK
Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.

PERKARA 7: PEMBANGUNAN SEKATA
Kami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.
 
 
* Aku percaya bahawasanya Barisan Nasional (BN) masih mampu mentadbir negara walaupun tak dinafikan ada cacat celanya sebab kita sebagai manusia memang tak sempurna. Melihat kepada 7 perkara yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) ini aku faham cuma aku tak yakin dan sesungguhnya BN adalah sebuah parti yang telah berpengalaman dalam pentadbiran negara. Masih banyak lagi transformasi yang Dato' Seri Najib Tun Razak mahu lakukan buat rakyat Malaysia. Nak tukar kerajaan? Ingat, ia bukan perkara yang mudah seperti permainan bola sepak yang mana kita boleh pergi bermain untuk pasukan lain semudah kita menukar jersi baru :)


Saturday, September 15, 2012

Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia Bukti Suara Siswa Didengari


Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan objektif untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar pelajar Institusi Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara. KADS1M juga akan diedarkan secara berperingkat. *harap bersabar :)

Apakah syarat untuk mendapatkan KADS1M?
KADS1M diberi secara percuma kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian jangka panjang dalam tempoh setahun dan keatas (sijil, diploma, ijazah, masters dan PHD) secara sepenuh masa dan mestilah warganegara Malaysia.

Apakah jenis perkhidmatan atau diskaun yang bakal diterima dengan KADS1M ini?
Produk IT, peruncitan, produk automotif, buku/alat tulis, pakaian/kelengkapan sukan, klinik kesihatan/optometri/cermin mata, makanan/minuman, penginapan/pengangkutan, pusat rawatan/kecantikan dan lain lain tertakluk kepada terma dan syarat. Untuk senarai syarikat yang terlibat boleh terus [KLiK SiNi]

Apa yang menarik saya nak kongsikan tentang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) ini ialah, ianya cetusan idea dari siswa sendiri semasa Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 November 2011 yang lalu. Nah, inilah bukti kerajaan (BN) sentiasa dengar suara siswa serta peka dengan kehendak siswa kini. Apa guna kita berdemo di jalanan terpekik terlolong? Siapa mahu dengar suara kita? Siapa mahu peka dengan kehendak kita? Siapa mahu ambil tahu semua itu? Kita yang bergelar mahasiswa perlu fikir langkah bijak untuk kita salurkan pendapat kita dengan cara musyawarah dan teratur. Insya Allah, hajat kita pasti akan sampai pada yang selayaknya. 

Terima kasih MPPK atas hasil daripada mesyuarat tahun lalu, maka wujudnya KADS1M. Seronok walaupun mungkin saya tidak dapat merasainya kerana saya hanya pelajar pengajian Jarak Jauh USM. Namun, saya sentiasa menyokong apa jua keputusan yang baik buat mahasiswa di negara ini.



p/s : Rasanya yang demo mansuh PTPTN dulu tu dapat hasil tak? Erk.. 
p/ss : Zed Zaidi mendedahkan terdapat segelintir artis dibayar puluhan ribu ringgit oleh parti tertentu dalam usaha menghasut rakyat membenci kerajaan. Berita lanjut baca SINI.